fb fb fb fb fb

Banci Pertanian 2024 termasuk masyarakat di pedalaman seluruh negara

Foto facebook Dr Uzir Mahidin

GUA MUSANG, 22 September- Banci Pertanian 2024 yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melibatkan masyarakat yang berada di kawasan pedalaman di seluruh negara termasuk komuniti orang asli serta kaum peribumi di Borneo.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, memasuki hari ke-78 bancian, bancian berskala besar itu meliputi bancian ke atas isi rumah serta pertubuhan perniagaan seperti subsektor tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur, perhutanan dan pembalakan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 berkata, DOSM telah bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta pejabat daerah dalam usaha memperkasakan komuniti berkenaan.

"Antara yang kita nampak, ada kemajuan dalam kalangan orang asli dari segi penggunaan teknologi dalam pertanian dan kecekapan dalam menentukan harga yang sesuai.

"Kemungkinan, dahulu kita bayangkan harga pasaran di peringkat mereka jual, mereka tidak mengetahui. Tetapi dengan adanya pengalaman dan informasi yang boleh diakses, jadi kita nak usaha titik peluh mereka mendapat pulangan yang sewajarnya.

"Ini pentingnya maklumat dan kefahaman supaya tidak menerima lebih rendah dari apa yang diusahakan. Ini yang diusahakan oleh pelbagai pihak dan kita dapati kebanyakan tempat telah pun ada sambungan dan juga maklumat telah sampai kepimpinan masyarakat melalui ketua-ketua kampung", katanya semasa mengadakan lawatan ke perusahaan ikan kelah di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang, Kelantan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan sebanyak 1.02 juta atau 87.3 peratus tempat kediaman dan 19,964 atau 85.9 peratus pertubuhan perniagaan selesai dilawati sempena Banci Pertanian 2024 di seluruh negara setakat ini.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr Mohd Uzir berkata DOSM Kelantan telah selesai menjalankan bancian terhadap sebanyak 72,103 tempat kediaman pertanian dan sebanyak 246 bagi pertubuhan perniagaan yang terlibat dengan aktiviti pertanian.

 

ROSLINA BINTI DIN