
KUALA LUMPUR, 1 Februari– Setiap penganjuran acara sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 akan dibuat penyesuaian sewajarnya, mengambil kira aspek budaya, sensitiviti dan norma masyarakat bagi meredakan sebarang polemik dan kebimbangan yang dibangkitkan.
- Setiap acara TMM 2026 akan disesuaikan mengikut budaya, sensitiviti dan norma masyarakat untuk elak polemik.
- Strategi promosi dipertingkat dan diperincikan mengikut kumpulan sasaran bagi tarik lebih ramai pelancong.
- Acara larian dan maraton dijangka tingkatkan publisiti antarabangsa dan menjana pertumbuhan ekonomi pelancongan.
- MOTAC dan Tourism Malaysia proaktif anjur lawatan suai kenal kepada pemborong, peruncit, penerbangan dan media.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, strategi promosi bagi TMM 2026 juga harus diperhebat dan diperincikan mengikut kesesuaian kumpulan sasaran bagi memastikan kempen berkenaan lebih berkesan untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke negara ini.
“Ia harus diikuti dengan tindakan-tindakan susulan, tidak boleh menggunakan satu bentuk publisiti sahaja dan perlu sesuai mengikut kumpulan sasaran berkenaan,”katanya selepas menyempurnakan upacara pelepasan Larian Tahun Melawat Malaysia 2026.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Mengulas mengenai acara larian itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet TMM 2026 menzahirkan rasa bangga apabila program tersebut mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran peserta mencecah lebih 5,000 orang, lebih tinggi berbanding sasaran awal seramai 3,000 peserta.
Tambahnya, acara maraton yang dijadualkan pada Ogos depan berpotensi menarik penyertaan antarabangsa, sekali gus meningkatkan publisiti dan membawa lebih ramai pelancong ke Malaysia.
“Jumlah penyertaan yang tinggi itu memperlihatkan sambutan luar biasa dan digalakkan penyertaan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Selain itu, acara maraton pada bulan Ogos akan datang mendapat penyertaan peserta-peserta antarabangsa.
“Tambahan pula dengan publisiti yang baik, kita akan dapati pelancong luar akan datang lebih ramai dan tentunya ini akan menjana ekonomi negara kita,” katanya.
Beliau pada masa sama, menghargai usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia yang proaktif mengadakan program lawatan suai kenal untuk kumpulan kategori berbeza seperti pemborong, peruncit, syarikat penerbangan serta pengamal media bagi memperkukuh promosi pelancongan secara menyeluruh.