fb fb fb fb fb

KKR pantau lebuh raya berisiko - Fadillah

TUMPAT, 13 Ogos - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneliti sebarang risiko termasuk kemungkinan berlaku keruntuhan tebing atau cerun berkaitan keadaan jalan di Lebuhraya Timur Barat dari Jeli, Kelantan ke Gerik, Perak.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tindakan itu susulan lebuh raya berkenaan menjadi satu daripada isu yang berbangkit terutamanya dalam media sosial yang didakwa berisiko tinggi kepada pengguna, termasuk mengundang kemalangan maut.

Katanya, berikutan itu, beliau serta pihak pengurusan tertinggi melakukan tinjauan serta pemantauan di kawasan berkenaan untuk melihat sendiri tindakan yang boleh diambil bagi penambahbaikan jalan, sekali gus menyiasat sama ada aduan itu berasas atau sebaliknya.

(Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof)

"Sekiranya hasil tinjauan yang dilakukan adalah betul seiring dengan aduan kita akan meneliti tindakan yang boleh diambil untuk penambahbaikan demi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Projek Jejambat Wakaf Bharu, di sini, semalam.

Tambah Fadillah, pihaknya turut mengalami cabaran yang sama membabitkan jalan di Lojing berikutan keadaan muka bumi di kawasan itu berisiko akan mengundang berlaku keruntuhan tebing dan cerun.

"Bagaimanapun, kita telah mengeluarkan banyak peruntukan untuk mengatasi keruntuhan tebing dan cerun ini. Namun, apa yang lebih utama adalah untuk kita mengenal pasti apa langkah pencegahan yang dapat dilakukan untuk mengurangkan risiko daripada kejadian itu berlaku," katanya.

Media Baharu