fb fb fb fb fb

Wanita 24 tahun ditemui mati dipercayai ditekup bantal oleh teman lelaki

SHAH ALAM, 26 Ogos - Hasrat seorang wanita yang ingin memutuskan hubungan dengan kekasihnya berakhir dengan tragedi apabila ditemukan mati dipercayai akibat ditekup dengan menggunakan bantal oleh kekasihnya di sebuah rumah di Kampung Pandan, Klang, dekat sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata mangsa berusia 24 tahun dan suspek lelaki berusia 19 tahun turut ditangkap pihaknya di tepi jalan berdekatan dengan tempat kejadian, ketika cubaan melarikan diri.

Cha berkata pihaknya menerima aduan kira-kira jam 9.12 malam, semalam, daripada seorang wanita tempatan.

“Kaunter aduan Balai Polis Klang telah menerima satu aduan daripada seorang perempuan warga tempatan, yang menyatakan bahawa pada 7.18 malam semalam telah terima panggilan video daripada suspek, yang meminta bantuan untuk mengambilnya di kawasan Kampung Pandan, Klang.

“Ini kerana suspek dikatakan telah bertindak menekup muka dengan mengunakan bantal terhadap seorang perempuan, sehingga tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati, punca kejadian adalah disebabkan mangsa ingin memutuskan hubungan dengan suspek.

“Pihak polis yang sampai di lokasi tempat kejadian mendapati, kejadian berlaku di sebuah rumah jenis lot di kawasan Kampung Pandan, Klang. Mangsa telah ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik rumah tersebut, pemeriksaan tubuh badan mangsa tiada sebarang kesan kecederaan,” katanya.


Cha berkata pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Tambahnya, Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian, telah menemukan beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

Cha berkata siasatan juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 31 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Media Baharu