fb fb fb fb fb

Kerajaan Melaka peruntuk RM1.4 juta untuk biasiswa dan pelajar SPM

MELAKA, 26 Ogos - Lebih RM1.4 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri Melaka melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) bagi Insentif Care SPM 2022 dan Biasiswa, di sini pada Khamis.

Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri, Datuk Rais Yasin, berkata ia bukti komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan, kemenjadian pelajar serta pemugaran sahsiah.

“Jumlah keseluruhan sumbangan ini (Insentif Care SPM 2022) adalah RM621,650 yang membabitkan 12,433 calon SPM merangkumi 85 buah sekolah termasuk swasta dan dibawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Biasiswa Melaka pula membabitkan 1,341 pelajar yang akan menerima biasiswa sebanyak RM600 setahun dan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM804,600.

“Keseluruhan peruntukan disediakan kerajaan Negeri Melaka adalah RM1,426,250 yang memberi manfaat kepada 13,774 pelajar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Insentif Care SPM 2022 dan Biasiswa Melaka di Jalan Hang Tuah di sini.

Hadir sama, Pengurus Besar TAPEM Datuk Mustafa Musa dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Muhammad Ikram Ibrahim.

Rais berkata, insentif dilaksanakan adalah antara perkara yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali pada Pembentangan Bajet 2022.

Media Baharu