fb fb fb fb fb

Wang Tidak Dituntut (WTD) kini cecah RM11.2 bilion - Ahmad Maslan

(Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan/FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 24 Mei - Sebanyak RM11.2 bilion jumlah Wang Tidak Dituntut (WTD) yang diuruskan oleh Jabatan Akauntan Negara (JANM) sehingga 30 April lalu, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata 70 peratus daripadanya adalah wang dalam akaun bank yang tidak aktif melebihi tujuh tahun.

Manakala, dua lagi kategori termasuk wang lebihan dalam akaun perdagangan antara pembekal dan syarikat bagi tempoh dua tahun atau lebih.

"Definasi wang tak dituntut ini ada tiga. Pertama, wang yang tidak dibayar kepada empunya seperti gaji, bonus, dividen dalam tempoh setahun atau lebih.

“Kedua, wang dalam akaun perdagangan antara pembekal dan syarikat ada lebihan dalam tempoh dua tahun atau lebih.

“Ketiga paling banyak sekali iaitu 70 peratus daripada 11.2 bilion ini ialah wang dalam akaun bank yang tidak aktif dalam tempoh tujuh tahun atau lebih," kata Ahmad dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

(Datuk Seri Ahmad Maslan/FOTO BERNAMA)

Sehingga semalam, sebanyak RM3.3 bilion Wang Tidak Dituntut sudah dikembalikan kepada rakyat.

Menurutnya, rakyat boleh mendapat kembali wang berkenaan dalam masa empat belas ke tiga puluh hari sekiranya melengkapi dokumen yang diminta.

Katanya, rakyat boleh membuat semakan dan menuntut wang wang terbabit melalui laman sesawang Jabatan Akauntan Negara di www.JANM.my atau melalui portal E-GUMIS.

“Siapa-siapa nak tuntut tak perlu sediakan ejen. Tak perlu buat pembayaran. Boleh terus ke portal tersebut dan mereka akan proses,” kata Ahmad.

Media Baharu