fb fb fb fb fb

Wang Kelian sesak, ribuan serbu sempadan sempena cuti Maal Hijrah

Meski berlaku kesesakan, urusan keluar masuk pelancong di sempadan berjalan lancar

PADANG BESAR, 27 Jun- Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian menjadi tumpuan utama pelancong tempatan yang memilih untuk bercuti ke Thailand sempena cuti Maal Hijrah dan hujung minggu ini.

Selain Padang Besar, laluan sempadan Wang Kelian merupakan antara pintu masuk utama dari Perlis ke negara jiran yang mencatat peningkatan jumlah pengunjung ketika musim cuti.

Tinjauan RTM di ICQS Wang Kelian mendapati, pihak Jabatan Imigresen menjangkakan lebih 6,000 pelancong akan melalui laluan berkenaan sepanjang cuti kali ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Sempadan Negeri Perlis, Izizam Ibrahim, peningkatan itu didorong oleh kecenderungan rakyat Malaysia membawa ahli keluarga bercuti ke destinasi popular di selatan Thailand seperti Satun, Pak Bara, Koh Lipe dan Trang.

“Kesesakan mula kelihatan seawal pukul 6 pagi dari Arked Niaga Wang Kelian hingga ke Pos Imigresen. Kenderaan termasuk bas tiba secara berperingkat untuk ke Thailand,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau turut mengakui keperluan mendesak untuk menaik taraf infrastruktur di pintu sempadan Wang Kelian bagi menampung kehadiran pengunjung yang semakin meningkat saban tahun.

“Di Wang Kelian ini memang agak mencabar. Di sebelah Wang Prachan (Thailand), mereka ada perancangan tersendiri yang sangat baik dan ICQ mereka jauh lebih teratur. Kita perlukan satu perubahan yang ketara untuk menaik taraf kawasan ini,” katanya.

Walaupun berlaku kesesakan, urusan keluar masuk pelancong di sempadan berjalan lancar hasil kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa yang bertugas di lokasi.

Seorang pelancong, Yeop Musa Talib, memuji kelancaran pengurusan sempadan walaupun jumlah pengunjung tinggi.

“Saya kebetulan mahu ke Thailand dan memang nampak orang ramai. Tapi saya puas hati dengan cara petugas imigresen Malaysia-Thailand dan agensi lain kendalikan keadaan. Walaupun dikatakan 2,000 hingga 3,000 orang sehari, Alhamdulillah semua terkawal,” katanya.

Bagi pelancong pertama kali, Mohd Fikri Mohd, pengalaman beratur panjang di pintu masuk memberi gambaran jelas tentang populariti lokasi tersebut.

“Ini kali pertama saya ke sini dan memang ramai orang. Biasanya tak sampai kawasan depan tu pun dah boleh masuk, tapi hari ini agak sesak dengan orang dan kenderaan,” katanya.

Orang ramai yang merancang bercuti ke Thailand dinasihatkan supaya memastikan pasport atau pas sempadan masih sah, memiliki insurans perjalanan, serta mematuhi semua peraturan ditetapkan Imigresen dan Kastam bagi mengelak sebarang kesulitan di pintu masuk.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE