fb fb fb fb fb

Wang BAP dirompak: Wujud pelanggaran SOP

IPOH, 17 Januari- Terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sewaktu pengeluaran wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah lebih RM100,000 yang dirompak dalam kejadian di Beranang, Selangor semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sedang menyiasat kes tersebut bagi mengenal pasti punca kejadian.

Jelas beliau, menurut tatacara pengeluaran wang tunai yang digariskan Kementerian Pendidikan, pengeluaran wang tunai sehingga RM10,000 oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi dua guru.

Sekiranya pengeluaran melebihi RM10,000, pihak sekolah perlu mendapatkan perkhidmatan pengiring daripada polis.

“Kami ambil serius kerana kehilangan ini melibatkan jumlah yang cukup besar dan SOP kewangan telah dilanggar, kami ada SOP yang ketat bahawa pengeluaran wang lebih RM10,000 mesti ada pengiring, ini kan pula satu jumlah yang amat besar.

Kami sedang menunggu laporan polis dan JPN Selangor, kemudian kami umumkan tindakan yang akan diambil,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan Chepor di sini.

(Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan)

Dalam kejadian 10.00 pagi semalam, seorang guru besar berputih mata selepas wang BAP berjumlah RM109,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang dirompak individu yang memecah tingkap kenderaannya di Semenyih.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan, berdasarkan keterangan guru besar terbabit, mangsa yang berpengalaman 10 tahun mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak membuat sebarang permohonan polis pengiring kerana sudah biasa melakukan demikian.

Media Baharu