fb fb fb fb fb

Wan Saiful didakwa atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram RM5.59 juta

Bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, tahun lepas/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang sebelum ini didakwa atas kesalahan rasuah berhubung projek Jana Wibawa, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, tahun lepas.

Wan Saiful, 48, yang bersut hitam, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

"Tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan," kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu dalam keadaan tenang.

Wan Saiful berdepan 13 pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.6 juta dan lima pertuduhan menggunakan wang haram berjumlah RM3.9 juta.

Bagi pertuduhan pertama, Wan Saiful sebagai Pengarah Syarikat WA Advisory Group Sdn Bhd didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM78,800 daripada akaun CIMB Bank Berhad milik syarikat itu ke akaun Public Bank Berhad milik Syarikat Tagami Auto Enterprise Sdn Bhd sebagai bayaran bagi pembelian sebuah kereta jenis Ford Ranger.

Beliau juga didakwa atas 12 pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram dari akaun CIMB Bank milik Syarikat WSA Advisory Group ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad (RM291,564.96) dan Malayan Banking Berhad (RM49,000) milik tertuduh; Bank Rakyat milik Pertubuhan Penggerak Muafakat Bagan Seberang Perai Utara (RM36,550) dan RM180,000 dibayar kepada Majlis Sukan Negara Malaysia.

Wang hasil aktiviti haram itu turut dipindahkan ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik PYI Global Trading (RM120,000) dan Jejak Global Enterprise (RM425,650); akaun Ambank Berhad milik Fokus Malaysia Studios (RM176,380); akaun Maybank Islamic Berhad milik Chin Kang Hardware Jitra (RM88,000); akaun CIMB Bank Berhad milik seorang lelaki (RM33,521); akaun Malayan Banking Berhad milik Syarikat Sinar Karangkraf Sdn Bhd (RM38,160); akaun Maybank Islamic Berhad milik Akademi Gagasan Minda Merdeka (RM100,000) dan akaun Hong Leong Bank milik Good Square Sdn Bhd (RM46,487.85).

Wan Saiful juga didakwa atas lima pertuduhan menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram menerusi empat keping cek CIMB Bank Berhad, masing-masing bernilai RM2.3 juta dan RM530,471.46 milik syarikat tertuduh ke akaun CIMB Islamic Bank Berhad miliknya; sekeping cek bernilai RM400,000 dibayar kepada Syarikat Jendela Timur Consultant dan dua keping cek masing-masing bernilai RM300,000 dan RM400,000 dibayar kepada Duckling Managament & Services dan Fendi Dilif Resources.  - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN