fb fb fb fb fb

Program Agropreneur Muda bantu usahawan dalam pertanian

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin

KUALA LUMPUR, 25 Oktober- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus menggerakkan Program Agropreneur Muda dalam membangunkan usahawan khususnya golongan belia dalam bidang pertanian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata program tersebut membantu serta menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan agro berasaskan rantaian nilai sektor agromakanan.

Manakala daripada aspek pertanian moden, Geran Agropreneur Muda (GAM) ditawarkan sehingga RM20,000 berbentuk infrastruktur, sistem dan peralatan berkaitan teknologi.

Ia turut  menawarkan kursus dan latihan meliputi penggunaan teknologi Internet, pemasaran digital, pengurusan data ladang dan latihan berkaitan teknologi terkini.

"GAM satu titik permulaan untuk usahawan-usahawan muda menceburi bidang ini. KPKM menyediakan pelbagai program seperti geran pemakanan, 'high impact product' dan 'change upgrade product'. Pada peringkat seterusnya,  kita akan memberikan geran yang  berbentuk padanan bagi menggalakkan usahawan berdikari dan tidak hanya bergantung kepada geran semata-mata," kata Chan ketika menjawab pertanyaan yang dikemukan wakil Selangau, Edwin Banta di Dewan Rakyat di sini.

Tambahnya, bagi usahawan muda sedia ada yang ingin meningkatkan teknologi, KPKM melalui Agrobank telah memperkenalkan Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan (PMRNA) yang menawarkan kemudahan pembiayaan sehingga RM1 juta dengan tempoh pinjaman 10 tahun.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM