fb fb fb fb fb

Wan Junaidi dilantik YDP Dewan Negara, Nur Jazlan timbalan

(Wan Junaidi (kiri), Nur Jazlan (tengah) dan Mujahid Yusof (kanan)/Foto fail Bernama)

KUALA LUMPUR, 19 Jun- Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik Yang Dipertua (YDP) Dewan Negara ke-19.

Beliau menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang tamat perkhidmatan pada 16 Jun lepas.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu adalah calon tunggal yang dikemukakan untuk memegang jawatan tersebut.

Pelantikan dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, 14 Jun lepas.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang telah mencadangkan nama saya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, walaupun sedia maklum saya telah bersara daripada politik, namun panggilan berkhidmat lebih penting daripada apa yang saya rancang," katanya dalam ucapan ringkas di Parlimen, di sini hari ini.

(Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika memberikan
ucapan ringkas sebaik dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara)

Terdahulu, Wan Junaidi mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara, bersama dua yang lain iaitu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Nur Jazlan turut dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara selepas mendapat 43 undian dalam pengundian lantikan jawatan itu, mengatasi Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris.

Media Baharu