KUALA LUMPUR, 19 Jun- Pelantikan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara ke-19 dianggap tepat demi memperkasa agenda reformasi Parlimen.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum memulakan sesi Jawab Lisan di Dewan Negara.
(Yang di-pertua Dewan Negara ke-19, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar/JAPEN)
"Kerajaan ucapkan tahniah untuk jawatan yang selayaknya disandang oleh Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berpengalaman, yang ada presentasi baik, cemerlang sebagai ahli parlimen, menteri dan sungguh komited membawa agenda reformasi Parlimen.
"Tan Sri mempunyai kelayakan yang sempurna, kami usulkan dengan semangat tersebut bagi mengangkat martabat Dewan Negara sebagai institusi penting dalam negara", kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wan Junaidi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang dilantik sebagai Speaker Dewan Negara sejak 18 Jun 2020 dan tamat perkhidmatan pada 16 Jun lepas.
Dalam pada itu pelantikan Datuk Nur Jazlan Bin Tan Sri Mohamed sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara diyakini mampu membawa perubahan kepada institusi Parlimen.