fb fb fb fb fb

Wan Azizah seru rakyat sumbang kepada Tabung Pahlawan, hargai jasa veteran ATM

Penaung Kempen Tabung Pahlawan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) menerima sumbangan korporat daripada Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Jeneral (B) Tan Sri Azizan Ariffin sempena Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2025/2026/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Rakyat Malaysia diseru untuk menyumbang kepada Kempen Tabung Pahlawan sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran yang telah berjasa mempertahankan kedaulatan negara.

Penaung Kempen Tabung Pahlawan, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata keamanan dan kemerdekaan yang dinikmati negara hari ini bukan diperoleh dengan mudah, sebaliknya hasil pengorbanan besar para perajurit tanah air.

“Kita sambut Hari Merdeka, kita sambut Hari Malaysia, namun adakah kita benar-benar menghargai maknanya? Tanpa angkatan tentera, tanpa para veteran, kita tidak akan sampai ke tahap ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025/2026, di sini hari ini.

Datuk Seri Dr Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa nikmat keamanan yang dikecapi rakyat bukan sesuatu yang datang secara percuma, sebaliknya dibayar dengan pengorbanan dan keringat para pejuang negara.

“Keamanan yang kita capai, rasa dan nikmati ini bukan datang percuma, ada harga yang dibayar. Maka, saya ingin merayu kepada semua rakyat Malaysia yang menghargai apa yang kita miliki hari ini, marilah sama-sama menyumbang kepada Tabung Pahlawan.

"Hulurkan bantuan kepada mereka yang telah banyak berjasa agar pengorbanan mereka terus dihargai,” ujar beliau.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN