KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Pendekatan yang lebih menyeluruh berkaitan kesejahteraan mental penjawat awam perlu diberi perhatian serius dan diperluas pelaksanaannya di seluruh sektor perkhidmatan awam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat berkata antara langkah yang boleh diambil termasuk memperuntukkan dana khas bagi melaksanakan program kesejahteraan psikologi dan sokongan emosi kepada semua penjawat awam.
Menurutnya, cadangan itu turut merangkumi pelaksanaan latihan keseimbangan kerja dan kehidupan, serta pembangunan kemahiran kepimpinan dalam kalangan ketua jabatan sebagai usaha menangani isu kesihatan mental dalam sektor awam.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat/RTM
“Kita juga dapat lihat, bagi tujuan kesejahteraan mental ini, bagaimana penempatan pegawai awam, contohnya pegawai lantikan pertama yang ditugaskan jauh daripada penempatan asal, boleh memberi kesan kepada kesejahteraan mereka.
"Dalam kumpulan tertentu seperti pegawai kesihatan atau pegawai perubatan (doktor), kita lihat di Sabah dan Sarawak, nisbah penempatan adalah sangat tidak seimbang.
"Rakyat Sabah dan Sarawak yang menyertai skim berkenaan masih kecil jumlahnya, menyebabkan nisbahnya kira-kira 20 peratus di sana dan 80 peratus di Semenanjung. Maka sebahagian besar pegawai terpaksa dihantar ke Sabah dan Sarawak untuk berkhidmat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran dari Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.