SHAH ALAM, 9 Oktober – Sebanyak RM50 juta diperuntuk kepada Pos Malaysia bagi penubuhan Dana Perkhidmatan Pos.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata dana yang disalur melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bagi memastikan perkhidmatan pos negara terus relevan, mampan dan berdaya saing dalam era komunikasi digital dan e-dagang.
Dana tersebut disalurkan atas dasar Universal Service Obligation (USO), selaras dengan Akta Perkhidmatan Pos 2012.
“Ia seumpama Universal Service Provision Fund dalam sektor telekomunikasi. Namun, di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012, sebenarnya sudah ada peruntukan untuk mewujudkan sebuah tabung perkhidmatan pos,” jelas beliau.
Menurut Datuk Fahmi, inisiatif strategik itu akan membantu Pos Malaysia melaksanakan transformasi menyeluruh agar terus berdaya tahan menghadapi cabaran baharu dalam landskap penghantaran surat dan kurier.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kerajaan akan meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012 bagi memperluas skopnya merangkumi perkhidmatan kurier, selain menyesuaikannya dengan perubahan pesat dalam ekosistem ekonomi digital dan rantaian nilai semasa.
“Ketika akta ini digubal pada 2012, belum wujud lambakan platform e-dagang seperti hari ini. Ketika itu, sektor ini masih tertumpu pada perkhidmatan pos tradisional dan belum melibatkan penghantaran kurier secara besar-besaran.
Kini, sudah tiba masanya beberapa peruntukan dipinda supaya ekosistem ini kekal lestari dan kebajikan pekerja terus terpelihara,” katanya.
Datuk Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Redly Pos Malaysia International sempena Hari Pos Sedunia 2025, bertemakan “#PosUntukRakyat: Perkhidmatan Tempatan, Capaian Sejagat”, di Shah Alam hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, serta Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar.