fb fb fb fb fb

128 premis berlesen jalankan pemulihan sisa elektronik di seluruh negara

Sebanyak 128 premis berlesen menjalankan aktiviti pemulihan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) di seluruh negara/Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Sebanyak 21 premis berlesen menjalankan aktiviti pemulihan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) sepenuhnya serta 107 premis berlesen bagi pemulihan separa beroperasi di seluruh negara setakat tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata keseluruhan 128 premis berlesen itu hanya dibenarkan memproses sisa elektrik dan elektronik yang dihasilkan dalam negara sahaja.

Beliau menegaskan, langkah tersebut selaras dengan dasar kerajaan yang tidak membenarkan kemasukan e-waste dari luar negara, bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan pusat pengurusan atau pelupusan sisa elektronik antarabangsa.

0910 PAR E WASTE 2Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii/BERNAMA

“E-waste mengandungi bahan toksik seperti plumbum, merkuri dan kadmium yang boleh mencemarkan tanah air serta memberi kesan serius kepada kesihatan manusia sekiranya tidak diurus dengan baik.

"Oleh itu, e-waste perlu diproses melalui kaedah rawatan yang sesuai dan sisa berkenaan perlu dilupuskan di tapak pelupusan selamat bagi memastikan keselamatan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Jelas Huang, e-waste dikategorikan di bawah kod SW110 mengikut Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN