fb fb fb fb fb

Wakil belia Felda dalam Ahli Lembaga Pengarah Felda

FOTO PMO

KUALA LUMPUR, 12 Februari - Kerajaan bersetuju melantik wakil belia Felda dalam Ahli Lembaga Pengarah Felda bagi mengiktiraf peranan golongan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelantikan itu juga bagi membolehkan belia Felda bersama-sama membangunkan negara.

"Gunakan platform ini untuk menjadi rakan pembina negara serta mampu berperanan sebagai pertubuhan belia yang memiliki model kemandiriannya sendiri seperti yang dicita-citakan dalam Dasar Belia Malaysia. Pertubuhan belia berdiri sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan," katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Felda Malaysia, Kami Anak Felda (KAF) dan Permuafakatan Siswa/Siswi FELDA (PERSADA) di Menara Felda di sini, malam ini.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM); RM200,000 untuk KAF dan RM100,000 kepada PERSADA.

"Saya mengharapkan sumbangan kerajaan akan membantu MBFF, KAF dan PERSADA mengadakan program untuk membantu golongan belia.

"Sekali lagi saya mengharapkan agar para belia terus bersama kerajaan untuk melayari bahtera keluarga Malaysia ini menuju ke arah suatu destinasi yang lebih baik," katanya.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut mengumumkan tempoh jawatan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengerusi FELDA yang akan tamat pada 30 April ini disambung dua tahun lagi.

Media Baharu