KUALA LUMPUR, 13 Februari - Kementerian Pengangkutan berhubung rapat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) susulan insiden penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Tawau dilencongkan ke Kuching, baru-baru ini.
Kementerian tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan, pengawal selia keselamatan dan teknikal telah menguruskan insiden tersebut mengikut prosedur dan peraturan keselamatan ditetapkan.
Jelas kenyataan itu lagi, setiap syarikat penerbangan mematuhi semakan prapenerbangan yang ketat sebagai sebahagian keperluan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Sehubungan itu, CAAM akan terus memantau situasi dengan pengurusan syarikat penerbangan untuk memastikan segala mitigasi risiko diurus sewajarnya.
CAAM juga tidak akan berkompromi dalam sebarang isu yang boleh menjejaskan keselamatan operasi syarikat penerbangan.
Jumaat lalu, Air Asia mengesahkan penerbangan pesawatnya dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah telah selamat dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.
Ia berikutan seekor ular ditemui di dalam pesawat tersebut.