fb fb fb fb fb

VTL Darat dijangka dapat dilaksana sebelum Aidilfiti - PM

(Datuk Seri Ismail Sabri  pada sidang media bersama pengamal media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Thailand/BERNAMA)

BANGKOK, 26 Februari - Pembukaan sempadan darat Malaysia-Thailand melalui Skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi VTL Darat dijangka dapat dilaksanakan sebelum Hari Raya Aidilfitri. 

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, komitmen tersebut antara yang dicapai pada lawatan rasmi beliau ke Thailand. Kedua-dua negara melihat kebenaran aktiviti rentas sempadan sebagai satu keperluan menuju fasa pemulihan pasca pandemik.

"Kita telah memberikan beberapa cadangan kepada Kementerian Kesihatan agar mencari kaedah terbaik untuk mempermudahkan dan mempercepatkan pelaksanan VTL darat sebab bagi saya VTL Darat Malaysia dan Thailand ini amat penting, katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata usaha tersebut, dapat membantu memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua pihak terutamanya sektor pelancongan.

Insiatif itu melibatkan pembukaan sembilan sempadan darat iaitu melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao dan semua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di utara semenanjung dan Selatan Thailand.

Turut disenaraikan, VTL Laut di antara Langkawi dan Satun.

Demi menyokong usaha pembukaan semula sempadan, kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 masing masing.

Ia akan disusuli dengan pengiktirafan sijil vaksin digital dan integrasi dua aplikasi, MySejahtera (Malaysia) dan MorProm (Thailand) bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

"Melalui integrasi kedua-dua aplikasi ini, pelancong dari Malaysia atau rakyat dari Malaysia boleh menggunakan MySejahtera di Thailand, di pintu masuk atau mana-mana tempat. Manakala, MorProm juga boleh digunakan di Malaysia", katanya. 

Malaysia dan Thailand juga bakal meneroka kerjasama projek kesalinghubungan.

Dalam perkembangan terbaharu, kedua-dua negara bersetuju mengadakan kajian kebolehlaksanaan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur dan Bangkok.

Dalam pada itu, projek infrastruktur di sempadan juga akan disegerakan iaitu, pembinaan Jajaran Jalan Menghubungkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao.

Turut dipersetujui rundingan pembinaan dua projek jambatan persahabatan merentasi Sungai Golok di Kelantan, iaitu Jambatan ke-2 Rantau Panjang-Sungai Golok; dan Jambatan Baharu Pengkalan Kubor-Tak Bai.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur menyatakan komitmen untuk menyambung semula dialog damai di selatan Thailand yang terhenti akibat COVID-19 sebelum ini.

Menurut Perdana Menteri, Thailand amat menghargai kerjasama berterusan dalam mengukuhkan keselamatan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Malaysia juga akan terus memperkukuh kerjasama pertahanan dan keselamatan dengan Thailand, meliputi usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Bercakap kepada wakil media Malaysia ketika merumuskan hasil lawatan sulungnya ke Thailand, Perdana Menteri memaklumkan, kabinet telah bersetuju untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk mesyuarat dan dialog di peringkat antarabangsa.

"Sudah sampainya kita berbangga dengan bahasa kita dan kita perlu bertangggungjawab untuk memperkasakan bahasa kita. Jadi, tidak ada sebab kenapa kita rasa janggal apabila kita berbahasa Melayu di luar negara kerana orang lain boleh berbangga dengan bahasa masing-masing", kata Perdana Menteri.

Perdana Menteri menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya di Kemboja dan Thailand, termasuk ketika sidang Media bersama-sama wakil media antarabangsa di Bangkok, semalam.

Datuk Seri Ismail Sabri menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Thailand dan menyifatkan beliau amat berpuas hati dengan hasil lawatan kali ini.

Agenda lawatan pengenalan ke negara serantau ini menurutnya, akan membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, sekaligus menyumbang ke arah pemantapan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Bangkok.

Laporan : Ivan Toh

Media Baharu