MELAKA, 15 April- Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan sebanyak 18,000 premis rumah inap untuk diperiksa bagi memastikan pemilik mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan yang ditetapkan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jumlah itu meningkat berbanding sasaran tahun lalu iaitu 17,000 premis. Namun, JBPM berjaya melepasi angka tersebut dengan merekodkan pemeriksaan ke atas 19,300 premis sepanjang tahun lepas.
Beliau turut memaklumkan bahawa peningkatan pemeriksaan turut mendorong kepada lonjakan trend pembaharuan alat pemadam api, apabila sebanyak satu juta unit alat berkenaan berjaya dijual pada tahun 2023.
"Seperti yang saya sebut, rumah inap ini paling asas perlu ada alat pemadam api. Walaupun kita hanya periksa 19,000 premis, tapi bila lihat peningkatan sebanyak satu juta unit alat pemadam api terjual, ini memberi isyarat jelas kepada industri bahawa kita serius dalam aspek keselamatan. Ia menunjukkan kesedaran semakin meningkat dalam kalangan pengusaha," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024, Sijil Perkhidmatan Terpuji dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Melaka.
Tambah beliau, walaupun tahap kesedaran dalam kalangan pemilik rumah inap dilihat semakin baik, pemeriksaan berkala tetap akan diteruskan sebagai langkah pencegahan dan pematuhan keselamatan menjelang VM2026.