KUALA LUMPUR, 15 April- Jenazah Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat dikebumikan dengan penuh istiadat penghormatan negara.
Jenazah disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara, pada pukul 2.30 petang.
Lebih 3,000 orang hadir memberi penghormatan terakhir dan menyertai solat jenazah.
Upacara pengebumian pula disempurnakan selepas solat jenazah yang diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni sejurus selesai solat Zohor.
Antara kenamaan yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Selain itu, barisan jemaah menteri, wakil-wakil kedutaan asing, pemimpin masyarakat dan ribuan rakyat yang menzahirkan rasa kehilangan terhadap pemergian negarawan itu.
Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa dari kediaman rasmi di Tasik Perdana pada pukul 8.10 pagi, diiringi istiadat penuh hormat oleh anggota pasukan keselamatan.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada petang semalam.