fb fb fb fb fb

JBPM kenang sumbangan Tun Abdullah ubah reka bentuk balai bomba

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad

MELAKA, 15 April- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menghembuskan nafas terakhir semalam.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, Allahyarham Tun Abdullah merupakan figura penting yang banyak menyumbang dalam pembangunan infrastruktur jabatan itu, khususnya melibatkan reka bentuk balai bomba yang lebih sesuai dengan keperluan komuniti setempat.

"Daripada sudut jabatan, kita melihat sumbangan besar yang telah diberikan oleh Tun, terutamanya dalam pembangunan reka bentuk balai bomba. Pada era beliau, pendekatan 'design and build' diperkenalkan secara menyeluruh dan inisiatif itu benar-benar mengubah landskap pembangunan balai bomba, agar lebih sesuai dengan lokasi serta keperluan masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024, Sijil Perkhidmatan Terpuji dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Melaka.

Terdahulu, beliau turut mengetuai bacaan Al-Fatihah sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham Tun Abdullah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE