fb fb fb fb fb

Visa furada: 23 kertas siasatan dibuka, kerugian cecah RM5 juta

KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Polis sudah menerima sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji membabitkan kerugian lebih RM5.6 juta setakat Ahad.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, 23 kertas siasatan telah dibuka dengan lima daripadanya telah lengkap dan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

Menurutnya, setakat 31 Julai lalu, seramai 336 orang menjadi mangsa penipuan tiga syarikat pelancongan swasta.

"Polis di Kuala Lumpur mencatatkan bilangan laporan tertinggi iaitu 52 membabitkan kerugian kira-kira RM2.3 juta diikuti Selangor dengan 33 laporan melibatkan kerugian RM966,100.

Sementara itu, 18 laporan melibatkan kerugian kira-kira RM1.2 juta diterima di Pahang manakala tujuh laporan di Johor dengan kerugian RM226,500 dan masing-masing enam laporan diterima di Kelantan dan Perak membabitkan kerugian keseluruhan RM483,000.

"Kedah mempunyai tiga laporan dengan nilai kerugian RM48,000 dan Terengganu dua laporan babitkan kerugian RM76,000 manakala masing-masing satu laporan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang melibatkan kerugian RM48,000,” katanya melalui kenyataan pada Selasa.

(Sebahagian individu yang terkandas di KLIA pada 7 Julai lalu)

Pada 7 Julai lalu, kira-kira 380 individu yang dijanjikan visa furada ke Tanah Suci, terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan swasta.

Media Baharu