fb fb fb fb fb

Kerajaan luluskan 99 projek, program berkaitan R&D, C&I dengan kos RM5.6 bilion

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat ruang pameran pada Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di MITEC/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 2 Ogos- Kerajaan meluluskan 99 projek dan program berkaitan Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D dan C&I) dengan kos RM5.6 bilion untuk sektor inovasi di Malaysia, bagi tempoh 2021 hingga 2022 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia perlu berubah dan berinovasi ke arah negara digital yang makmur dan berdaya tahan melalui pendigitalan, terima guna teknologi dan inovasi bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan. 


(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di MITEC/BERNAMA)

"Dalam aspek pengkomersialan, sekurang-kurang 50 peratus jumlah perbelanjaan pembangunan dan penyelidikan (R&D) perlu menjurus kepada penyelidikan pembangunan eksperimental, selain melahirkan lebih ramai pencipta teknologi serta usahawan teknologi tempatan bagi menjana kekayaan dan pertumbuhan ekonomi", katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Inovasi Malaysia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara.

Beliau berkata peratusan perbelanjaan kasar R&D kepada KDNK negara dijangka mencapai 2.5 peratus pada 2025 berbanding 1.04 peratus pada tahun 2018. 

Dalam usaha itu, sumbangan sektor swasta disasarkan mencapai 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan R&D.

Ini termasuk sumber pembiayaan alternatif termasuk modal teroka, pembiayaan antarabangsa dan mempertingkatkan dana endowmen. 

Perdana Menteri berkata cabaran berkaitan inovasi perlu ditangani sebelum negara mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Media Baharu