fb fb fb fb fb

Vietnam berhasrat sertai Majlis Halal ASEAN

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dalam pertemuan bersama Tran Hong Ha di ibu negara. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 19 September- Penubuhan Majlis Halal ASEAN dijangka menjadi antara tumpuan utama dalam Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung pada Oktober ini, sekali gus membuka lembaran baharu bagi kerjasama serantau industri halal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan penubuhan majlis tersebut turut menerima sokongan padu daripada rakan sejawatnya dari Vietnam, Tran Hong Ha, yang kini berada di Malaysia bersempena Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA), Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 serta Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025.

"Penubuhan majlis ini merupakan antara fokus utama yang akan dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN akan datang. Saya telah mengundang Vietnam untuk turut serta dengan menghantar wakil, memandangkan potensi besar pasaran halal serantau yang melibatkan kira-kira 680 juta penduduk," jelasnya pada sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri Vietnam Tran Hong Ha di sini.

Beliau dalam pada itu menegaskan, sebelum rantau ini melangkah ke peringkat global, pembangunan kukuh dalam pasaran halal di peringkat ASEAN perlu diberi keutamaan terlebih dahulu.

Vietnam turut menyatakan komitmen untuk menyertai Majlis Halal ASEAN yang bakal diterajui secara bersama oleh Malaysia dan Indonesia.

Terdahulu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bersama Hong Ha mengadakan pertemuan selama kira-kira 30 minit bagi membincangkan mengenai perkembangan industri halal kedua-dua negara.

Antara perkara yang difokuskan termasuk tawaran Malaysia untuk membantu Vietnam membangunkan ekosistem halal melalui pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta program latihan berkaitan.

Kedua-dua negara bersetuju untuk meneroka potensi penubuhan sebuah taman industri halal di Vietnam, selaras dengan kerjasama strategik yang sedia terjalin antara JAKIM dan empat agensi pensijilan halal di negara tersebut.

"Kerjasama dalam industri halal tidak boleh terhad kepada makanan dan minuman sahaja, sebaliknya perlu merangkumi pelbagai sektor lain seperti farmaseutikal, kosmetik, gelatin, dan produk pengguna lain," jelas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid.

Tambah beliau, Vietnam juga amat berminat untuk menimba pengalaman Malaysia dalam membangunkan sektor halal, memandangkan JAKIM telah menerajui pensijilan halal selama lebih lima dekad.

Selain isu halal, kedua-dua pemimpin turut meneliti potensi memperkukuh hubungan dagangan dua hala.

Malaysia kini mencatatkan lebihan dagangan dengan Vietnam, namun terdapat cadangan agar lebih banyak produk dari Vietnam, terutamanya produk halal dapat menembusi pasaran tempatan.

"Mereka berharap agar pelbagai inisiatif boleh dilaksanakan bagi memperluaskan penerimaan produk Vietnam dalam kalangan peniaga dan pengguna kita," Tambah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid.

JALALUDDIN BIN BAHARIN