fb fb fb fb fb

Selangor komited pulih rumah mangsa letupan paip gas di Subang Jaya

Foto BERNAMA

SUBANG JAYA, 19 September- Kerajaan Negeri Selangor terus memberi komitmen dalam usaha memulihkan kediaman penduduk yang terjejas akibat insiden letupan paip gas di Subang Jaya, khususnya di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 79 unit rumah di Taman Putra Harmoni dikenal pasti perlu dibina semula dengan 49 pemilik bersetuju manakala 30 lagi menolak atas sebab tertentu.

Katanya, pembinaan semula itu dilaksanakan atas dasar ihsan Kerajaan Perpaduan dan sebarang keputusan akhir bergantung kepada persetujuan pemilik rumah.

“Di Taman Putra Harmoni, perlu ada intervensi yang lebih besar daripada pihak kerajaan, termasuk menyelesaikan isu 30 pemilik rumah yang tidak bersetuju atau tidak membenarkan kediaman mereka dibaiki atas sebab tertentu.

Kalau mereka tidak mahu, itu pilihan mereka, namun risiko terhadap keadaan rumah perlu ditanggung sendiri. Jika mereka ingin mengambil tindakan lanjut, ia boleh dilakukan berdasarkan nasihat daripada pihak-pihak berkaitan.

Kerajaan akan menangani perkara ini dengan memanggil kesemua 30 pemilik berkenaan untuk diberikan penjelasan, dan mesyuarat penyelarasan akan diadakan dalam masa terdekat," kata Datuk Seri Amirudin kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja meninjau status bina semula dan baik pulih rumah mangsa, di Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights, di sini.

Dalam masa yang sama, 120 unit rumah berada dalam kategori baik pulih sederhana, dengan kos antara RM30,000 hingga RM60,000.

Daripada jumlah itu, 86 unit telah membuat tuntutan bernilai RM3.9 juta, dengan 61 unit telah diselesaikan dengan jumlah bayaran RM2.6 juta manakala selebihnya dijangka diselesaikan menjelang Oktober ini.

Sementara itu, di Kampung Kuala Sungai Baru, sebanyak 11 unit rumah sedang dibina semula oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), dengan tiga daripadanya telah siap sepenuhnya, manakala selebihnya dijangka siap hujung Oktober.

Bagi kategori baik pulih, 94 unit rumah terlibat dengan anggaran kos sekitar RM30,000.

Daripada 63 tuntutan yang diterima bernilai RM1.7 juta, 50 telah diselesaikan manakala selebihnya masih dalam semakan kerana melebihi had siling kos yang ditetapkan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM