KUALA LUMPUR, 19 September – Projek penerbitan Ensiklopedia Hadis Nilai Jilid 1 hingga 4 yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir Mac tahun hadapan bakal menjadi naskhah rujukan utama dalam bidang keilmuan Islam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ensiklopedia itu akan menjadi rujukan autoritatif yang sahih, tersusun dan mudah diakses bagi memastikan ilmu hadis terus menjadi panduan serta pegangan masyarakat.
Beliau memaklumkan proses penterjemahan dan semakan naskhah tersebut dijangka selesai pada Disember depan.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menyarankan agar semua sekolah berasrama penuh termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) memiliki koleksi ensiklopedia berkenaan.
“Saya telah mengadakan persepakatan dengan Menteri Pendidikan supaya semua sekolah berasrama penuh wajib membeli. Saya juga akan berbincang dengan Pengerusi Mara dan Ketua Pengarah Mara untuk membeli ensiklopedia yang sama di seluruh MRSM.
“Universiti juga tentunya memerlukan beberapa jilid daripada ensiklopedia ini. Insya-Allah, pejabat saya akan mencari dana tambahan bagi menampung pembayaran penerbitan yang dianggarkan berjumlah RM9.5 juta. Kita tidak mahu membebankan kerajaan, sebaliknya dengan penjualan dan ulang cetak, kos akan dapat dikurangkan serta lebih banyak pengedaran dapat dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Ensiklopedia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Majlis Penyerahan Watikah Penterjemah dan Pentashih Mawsu‘ah Ahadith al-Qiyam (Ensiklopedia Hadis Nilai) Jilid 1 hingga 4 di ibu negara.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid memaklumkan berdasarkan data Perpustakaan Negara, hanya sekitar 2,380 judul buku agama diterbitkan daripada keseluruhan 181,000 judul buku di Malaysia.
Jelasnya, meskipun ekosistem perbukuan berkembang, kandungan berteraskan agama masih kecil nisbahnya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan projek Ensiklopedia Hadis Nilai serta ensiklopedia Islam lain bukan sahaja menambah kuantiti, tetapi turut menutup jurang kualiti dalam bidang kritikal yang diperlukan untuk membina akal budi bangsa.