KUALA LUMPUR, 19 September – Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini berkenan menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Selangor Youth Community (SAY) dan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
MoU tersebut menandakan permulaan kerjasama rasmi dalam memperkasakan usahawan belia Selangor menerusi program Liga Usahawan Eksport Selangor (SAY ASPIRE), iaitu platform latihan keusahawanan berfokuskan eksport.
Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Aiman Syafiq Nazri berkata kerjasama antara SAY dan MATRADE sebenarnya telah bermula sejak tiga hingga empat tahun lalu, namun inilah kali pertama ia dimeterai secara formal melalui MoU.
Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Aiman Syafiq Nazri
“Dengan adanya MoU ini, kita mahu usahawan belia lebih terdedah kepada fasiliti dan kemudahan yang disediakan MATRADE seperti perpustakaan sumber, pegawai pakar serta akses kepada peluang pasaran antarabangsa.
“Kita juga akan membantu usahawan menerusi lawatan antarabangsa yang dikendalikan MATRADE agar mereka dapat diperkenalkan kepada pembeli dan pembekal di luar negara,” katanya.
Menurut Aiman Syafiq, program SAY ASPIRE yang diadakan setiap tahun menerima penyertaan antara 30 hingga 70 usahawan dalam pelbagai bidang termasuk peralatan perubatan, minyak pati, produk gaya hidup serta makanan dan minuman.
Melalui kerjasama ini, peserta bukan sahaja mendapat status sebagai ahli MATRADE, malah berpeluang mengakses pelbagai geran dan sokongan tambahan.
Tambah beliau, sasaran SAY adalah sekurang-kurangnya lima usahawan terbaik mampu menembusi pasaran antarabangsa dalam tempoh setahun selepas menamatkan program.
“Kita sedar perjalanan eksport ini bukan mudah, jadi selepas tamat program pun kita akan terus memberi sokongan. Dengan penglibatan MATRADE, kita yakin usaha ini dapat diperkukuh serta menarik lebih ramai penyertaan belia,” ujarnya.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Aiman Syafiq selaku wakil SAY bersama Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Sejak ditubuhkan pada 2017, SAY telah melaksanakan lebih 200 inisiatif melibatkan hampir 370,000 belia di seluruh negara dalam bidang keusahawanan, sukan, kesenian serta khidmat masyarakat.
Kehadiran Raja Muda Selangor dalam majlis tersebut mencerminkan sokongan padu terhadap usaha memperkasa golongan belia dan keusahawanan di negeri Selangor.