PUTRAJAYA, 19 September - Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 September lalu yang telah menggagalkan usaha meluluskan resolusi gencatan senjata segera dan berkekalan di Gaza.
Menurut kenyataan Wisma Putra, penggunaan veto itu turut menghalang penghapusan sekatan yang sepatutnya membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan ke wilayah berkenaan.
Suruhanjaya Siasatan PBB sebelum ini mengesahkan berlakunya jenayah genosid di Wilayah Palestin yang diduduki.
Malaysia menegaskan, tindakan veto tersebut hanya memberi ruang kepada rejim Zionis Israel untuk meneruskan serangan darat, sekali gus meningkatkan angka korban, menafikan hak rakyat Palestin mendapatkan makanan serta memaksa lebih 450,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Wisma Putra menyifatkan kempen berterusan Israel itu sebagai genosid dan pembersihan etnik yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan serta resolusi-resolusi PBB.
Malaysia menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi memperjuangkan keamanan dan keadilan rakyat Palestin.
Ini termasuk usaha menubuhkan sebuah negara Palestin merdeka berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, serta mendesak kemasukan Palestin sebagai anggota penuh PBB tanpa syarat.