KUALA LUMPUR, 19 September - Inisiatif bandar pintar di Malaysia perlu diselaraskan untuk memastikan visi negara berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dapat dicapai menjelang 2030.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata ketika ini beberapa negeri telah memulakan projek bandar pintar masing-masing sejak beberapa tahun lalu, namun menerusi pendekatan berasingan.
“Saya kira ini adalah permulaan ke arah visi tersebut. Kita juga melihat banyak bandar di seluruh Malaysia, khususnya Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang berada di bawah seliaan saya, telah mempunyai blueprint bandar pintar.
“Namun, ia perlu diselaraskan dengan Kementerian Digital. Kita terbuka untuk menambah baik sistem yang sedia ada,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis penutup Ekspo Smart City Kuala Lumpur (SCEKL) di sini, hari ini.
Menurut beliau, membawa inisiatif itu ke peringkat kerajaan pusat akan membolehkan perkongsian data antara negeri, pihak berkuasa tempatan dan sektor lain, sekali gus mengukuhkan keupayaan negara dalam membangunkan bandar pintar.
Dalam masa sama, Dr Zaliha turut menegaskan pembangunan teknologi baharu membawa risiko yang perlu ditangani secara berhemah.