fb fb fb fb fb

Video tular pensyarah: Beri ruang pengurusan siasat, usah buat spekulasi

(UiTM Shah Alam/FOTO BERNAMA)


KUALA LUMPUR, 30 Mac- Kesatuan kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) meminta masyarakat memberi ruang sewajarnya kepada pengurusan universiti itu melakukan siasatan dan tidak membuat sebarang spekulasi susulan penularan video seorang pensyarahnya, hari ini.

Kesatuan terbabit bagaimanapun tetap memandang serius percakapan yang dikeluarkan salah seorang pensyarah UiTM itu semasa mengendalikan kuliah secara dalam tallan.

Namun, katanya, kesatuan menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan UiTM untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Pada hemat kami, sebagai seorang pendidik, profesionalisme dan adab harus menjadi keutamaan seseorang pensyarah walaupun berdepan dengan pelbagai kelompok pelajar yang datang daripada pelbagai latar belakang.

“Semua pihak khususnya pelajar wajar dihormati dan tindakan pensyarah tersebut mengeluarkan kata-kata yang menyebabkan timbulnya rasa rendah diri tidak seharusnya berlaku.

“Kami juga berharap agar masyarakat memberikan ruang sewajarnya kepada pengurusan UiTM untuk mengadakan siasatan dan mengambil tindakan jika perlu terhadap pensyarah terbabit.

“Selain itu, kami mengharapkan agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan atau menjatuhkan ‘hukuman’ kepada pensyarah lain dan UiTM itu sendiri,” menurut kenyataan bersama Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA), Persatuan Akademik UiTM (UTIMAS), Persatuan Pentadbir UiTM (PPUiTM) dan Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUUITM).

(Kenyataan bersama dikeluarkan Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA),
Persatuan Akademik UiTM (UTIMAS), Persatuan Pentadbir UiTM (PPUiTM)
dan
Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUUITM) berhubung video tular pensyarah universiti itu)



Terdahulu, video yang berdurasi 1.46 itu tular dalam media sosial apabila seorang pensyarah mempersoal salah seorang pelajarnya yang hanya menggunakan telefon bimbit untuk pembelajaran.

Rakaman itu menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi oleh warga maya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menyebut, walaupun video tersebut dipercayai video lama yang kembali ditularkan.kesatuan kakitangan UiTM itu sememangnya tidak bersetuju dengan segala yang berlaku

“Kami sebagai kakitangan UiTM khususnya yang berada dalam kelompok pengajaran akan terus menitikberatkan profesionalisme dalam kerjaya kami demi kejayaan anak bangsa. Di kesempatan ini juga, kami ingin menzahirkan rasa simpati terhadap pelajar dan keluarga beliau di atas apa yang telah terjadi.

“Kami percaya kejadian seperti ini menjadikan pelajar tersebut terus kuat dan tabah dalam menghadapi dugaan hidup dan dapat dijadikan pengajaran buat pelajar lain,” menurut kenyataan.

Media Baharu