fb fb fb fb fb

Video tular anak kencing di dapur, premis makanan diarah tutup

(Tangkap layar yang tular di media sosial)

KOTA TINGGI, 16 Disember- Sebuah premis makanan di Kota Tinggi, Johor diarahkan tutup serta merta selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk kotor.

Tindakan diambil selepas video tular mengenai perilaku pengendali makanan bersama kanak-kanak yang membuang air di kawasan dapur.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon dalam kenyataan berkata petugas kesihatan daerah Kota Tinggi diarah melakukan siasatan sejurus menerima laporan mengenai video tersebut.

(Ling Tian Soon/Foto fail BERNAMA)

Pemeriksaan mendapati premis disewakan kepada bukan warganegara, manakala empat pengendali tidak mempunyai sijil latihan pengendali dan seorang tidak disuntik Typhoid.

Antara kesalahan dilakukan pencemaran ditempat simpan makanan, lantai kotor, telur tidak dicuci serta sistem saliran tidak efektif.

Arahan penutupan dibuat mengikut seksyen 12 Akta Makanan 1983 dan arahan pembersihan seksyen 10(1) Akta yang sama.

Sementara pemilik premis dikompaun mengikut peraturan-peraturan kebersihan makanan 2009.

Sebelum ini tular video berdurasi 1 minit 24 saat yang menunjukkan seorang wanita membiarkan kanak-kanak kencing di lantai dapur ketika menyediakan makanan kepada pelanggan.

Media Baharu