fb fb fb fb fb

Tragedi tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR diteruskan 24 jam

(Anggota Bomba menggunakan anjing pengesan untuk mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri
tertimbus di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father's Organic Farm/JBPM Selangor)

BATANG KALI, 16 Disember- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali di Hulu Selangor awal pagi tadi, yang masih tertimbus akan diteruskan selama 24 jam dengan tumpuan diberikan kepada sektor B dan C.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata misi itu bagaimanapun akan dihentikan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan.

Menurutnya 16 mangsa yang maut ditemukan di sektor A manakala tiga lagi di sektor C.

Mangsa yang masih tertimbus dipercayai berada di sektor B dan C.

Sektor A terletak di kem Hillview, sektor B di kem Farmview manakala sektor C berhampiran kem Riverside.

"Setakat ini masih ada runtuhan susulan di sektor A antara jam 7.00 pagi hingga 9.00 pagi tadi, namun sekarang sudah stabil dan kita sentiasa dalam keadaan waspada kerana terdapat aliran air di kawasan runtuhan.

"Kita juga masih meneliti pergerakan tanah dan akan meminta pasukan penyelamat menghentikan misi jika berlaku sebarang insiden atau aktiviti geologi di kawasan pencarian," kata Norazam dalam sidang media di sini.

(Datuk Norazam pada sidang media di lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di
Father's Organic Farm/JBPM Selangor)

Media Baharu