fb fb fb fb fb

Pengusaha tapak perkhemahan beroperasi secara haram - Nga Kor Ming

HULU SELANGOR, 16 Disember- Pengusaha tapak perkhemahan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya tidak memperoleh lesen kebenaran sebagai tapak aktiviti perkhemahan.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata tiada sebarang lesen diluluskan Majlis Perbandaran Hulu Selangor kepada pengusaha berkenaan.

Pengusaha terbabit hanya memperoleh kelulusan menduduki bagi tujuan tanaman sayuran organik.

"Saya menasihatkan kepada pengusaha yang menjalankan aktiviti perkhemahan di kawasan berisiko, pastikan anda mendapatkan nasihat daripada Jabatan Mineral dan GeoSains Malaysia (JMG) terlebih dahulu," kata Kor Ming dalam sidang media selepas melawat kawasan tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya.

Tegasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang yang telah ditetapkan.


(Foto FB KPKT)

Sementara itu, laluan sukar dan berbahaya menyebabkan pengamal media dan orang awam tidak dibenarkan memasuki kawasan tanah runtuh itu.

Menurut Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, biarpun laluan tersebut kelihatan baik namun tidak menolak kemungkinan berlaku runtuhan susulan di tapak perkhemahan tersebut berikutan pergerakan tanah dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Tambah beliau, berikutan pergerakan air di bawah tanah ketika ini menyebabkan kesukaran operasi pencarian dijalankan.

Operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan 628 anggota keselamatan daripada 15 agensi itu akan diteruskan sehingga kesemua mangsa ditemui.

 

Media Baharu