fb fb fb fb fb

Vibe Baharu Perlisfm dilancar, perkukuh jenama stesen itu

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KANGAR, 27 April - Perlisfm digalakkan merangka pelbagai program khususnya di lapangan, dalam usaha bersaing dengan stesen-stesen radio lain yang ada di seluruh negara.

Ke arah itu Vibe Baharu Perlisfm iaitu suntikan pembaharuan kepada jenama dan kandungan program-program yang disiarkan Perlisfm dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Turut dilancar, lagu baharu iaitu Jom Mai Dengaq bagi mengukuhkan lagi jenama Perlisfm sekali gus menarik lebih ramai pendengar baharu.

"Usaha untuk menguar-uarkan jenama Perlisfm, jadi saya nampak mungkin kita perlu melalui agensi-agensi yang lain, tingkat beberapa aktiviti di lapangan supaya orang nampak dan kenal juga Perlisfm terutama dalam kalangan kanak-kanak, para pekerja dan warga emas.

"Jadi mungkin selain daripada bersiaran, ada aktiviti yang mungkin kita boleh laksanakan yang melibatkan para pendengar kita. Dan daripada itu ada satu sebab saya nampak perkara ini berlaku dengan Minnalfm iaitu salah satu daripada stesen radio kita," kata Fahmi kepada media dalam Pelancaran Kemuncak Canggung Hibrid dan Vibe Baharu Perlisfm di Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra, di sini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman.

Sementara itu sebagai kemuncaknya, Canggung Hibrid yang akan disiarkan secara langsung di saluran TV2 pada 4 Mei depan akan mengetengahkan gabungan tarian canggung iaitu kesenian rakyat yang cukup sinonim dengan Perlis bersama-sama variasi elemen kesenian lain secara kreatif atas satu pentas pertandingan.

TETITIA YUSOFF