TEMERLOH, 27 April- Seorang penunggang motosikal berkuasa besar maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah pacuan empat roda yang berhenti secara mengejut, ketika cuba mengelak seorang wanita melintas lebuh raya.
Video kemalangan yang berlaku di Kilometer 98.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1, berhampiran susur keluar Lanchang, Temerloh, 4.18 petang pada semalam itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata nahas berlaku ketika motosikal berkuasa besar dan pacuan empat roda itu dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kemalangan itu pada pukul 4.45 petang, pada Jumaat.
Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas seorang wanita berusia 35 tahun memberhentikan kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya di bahu jalan dan bertindak melintas lebuh raya terbabit.
Pemandu pacuan empat roda terbabit bertindak memberhentikan kenderaan secara mengejut bagi mengelak merempuh wanita itu namun, pada masa sama motosikal dari arah belakang tidak sempat berhenti lalu melanggar belakang pacuan empat roda terbabit.
Akibat rempuhan, mangsa, Ahmad Haziq Ramli, 34 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian dan motosikal mangsa tercampak ke atas pacuan empat roda yang dirempuh.
Menurutnya, siasatan mendapati, kemalangan disebabkan kecuaian wanita terbabit melintas jalan dan susulan itu, wanita berkenaan serta penumpang SUV dipandunya iaitu seorang lelaki warga China berusia 37 tahun, ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai.