GELUGOR, 27 April- Universiti Sains Malaysia (USM) menerima pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya menghasilkan penulisan kaligrafi Cina (Tionghua) sepanjang 2.68 kilometer (km).
Sijil pengiktirafan disampaikan Penolong Pengurus Pemasaran MBOR, Jeska Seah kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr Shaharum Shamsuddin pada satu majlis di Foyer Perpustakaan Hamzah Sendut 1 USM, pada Jumaat.
Penghasilan kaligrafi bertemakan Prelude: Naga’s Quill itu melibatkan lebih 1,000 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik termasuk pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di USM, pelajar sekolah menengah sekitar Pulau Pinang dan orang awam.
Pengarah projek, Choo Xuan Ping berkata projek itu adalah sebagai usaha memupuk perpaduan melalui silang budaya.
"Kami ingin mewujudkan satu interaksi budaya dalam semua peserta ini. Kami berharap melalui aktiviti budaya ini, kami boleh memupuk satu persefahaman dan juga satu keyakinan budaya dalam kalangan masyarakat Malaysia yang sering berpadu kepada kemajmukan dan diversiti," kata Choo kepada pemberita hari ini, di sini.
Menurutnya, idea menghasilkan kaligrafi itu tercetus sejak pertengahan tahun lepas sebagai pra acara bagi Program Siri Persembahan Pentas Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) pada Jun depan.
Proses penghasilan mengambil masa selama tiga hari bermula Isnin dan siap pada Rabu lepas, mengumpulkan lebih 3,000 simpulan bahasa membawa maksud yang baik ditulis atas kertas sepanjang 2.68 km itu.