fb fb fb fb fb

Pembinaan hospital di Pengerang sedang dikaji - Azalina

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said ditemui pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Parlimen Pengerang di Dataran Tasik Bandar Penawar

KOTA TINGGI, 27 April- Cadangan untuk membina sebuah hospital kerajaan atau Pusat Henti (One Stop Centre) di Pengerang, Kota Tinggi, Johor bagi memudahkan penduduk setempat dan para pelancong mendapatkan perkhidmatan kesihatan sedang dikaji.
 
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata perkara itu disambut baik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perjumpaan baru-baru ini.  
 
Fasiliti kesihatan itu diperlukan susulan pembangunan pembangunan industri dan pelancongan yang pesat, ditambah dengan jarak jauh untuk ke Hospital Kota Tinggi.
 
"Saya sudah maklumkan kepada YAB Perdana Menteri, pelancongan antarabangsa di Desaru Coast. Kalau hospital jauh, nanti dia mungkin was-was nak guna tempat ini untuk pelancongan, takut ada apa-apa keselamatan dan kecemasan."

"Jadi, dia pun memahami, isu yang saya sebutkan pada dia. Hari itu saya ada bincang dengan beliau dan secara prinsip, beliau pun nampak isu saya dan dia pun bersetuju dari segi prinsip lah. Tetapi, kita perlu perbincangkan dalam elemen kos," kata Azalina kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Parlimen Pengerang di Dataran Tasik Bandar Penawar, di sini.
 
Pembinaan Hospital atau pusat henti (one stop centre) dilihat sebagai satu keperluan di Pengerang meskipun hospital kerajaan di Kota Tinggi mempunyai kelengkapan yang lengkap untuk mendapatkan rawatan.
 
Dalam majlis sama, beliau juga meminta pihak bertanggungjawab untuk mengkaji semula masalah harga rumah di kawasan Pengerang sehingga menyukarkan golongan muda untuk membeli selain meminta memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan kepada golongan tempatan terutama para graduan tanpa melihat pengalaman.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM