KUALA SELANGOR, 23 Ogos - Kementerian Kesihatan kini memberi tumpuan kepada penyediaan memorandum Jemaah Menteri bagi pelaksanaan pengharaman penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, laporan awal Jawatankuasa Pakar telah pun dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet semalam.
Langkah seterusnya adalah membentangkan memorandum lengkap kepada Jemaah Menteri.
“Persoalannya bukan lagi kalau, tetapi bila. Perdana Menteri dan Kabinet meminta saya bentangkan memorandum berhubung kaedah pelaksanaan pengharaman vape. Inilah fokus utama - masa dan mekanisme pelaksanaan,” katanya.
Beliau menjangkakan memorandum itu dapat dibentangkan dalam masa terdekat, dengan sasaran selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini.
Menurut Dr Dzulkefly, antara perkara yang sedang diperhalus adalah bentuk pelaksanaan pengharaman, sama ada melalui penguatkuasaan undang-undang sedia ada atau penggubalan mekanisme tambahan.
Ia bagi memastikan larangan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Kita sudah ada Akta 852 yang mengawal selia produk merokok termasuk vape. Apa yang penting sekarang adalah menetapkan mekanisme pelaksanaan pengharaman itu secara berkesan,” jelasnya.
Dr Dzulkefly turut menambah, Perdana Menteri sendiri berulang kali mengingatkan supaya Kementerian Kesihatan bergerak segera ke arah pengharaman tersebut.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Selangor dan menutup Program Jom Sihat di Kompleks Stadium Tertutup Kuala Selangor, hari ini.