fb fb fb fb fb

Malaysia tanggung kos RM64 bilion setahun akibat penyakit tidak berjangkit

Usaha membudayakan gaya hidup sihat dan meningkatkan literasi kesihatan rakyat perlu diperkasa bagi mengurangkan kos perubatan/Foto RTM

KUALA SELANGOR, 23 Ogos - Negara menanggung kerugian sehingga RM64 bilion setahun akibat penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk kos rawatan langsung dan kehilangan produktiviti pekerja.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu berpunca daripada beban penyakit seperti serangan jantung, strok, kanser, kencing manis, obesiti dan tekanan darah tinggi yang merupakan penyebab utama kematian pramatang di negara ini.

“Setiap tahun kita belanja RM64 bilion, sama ada kos rawatan langsung mahupun tidak langsung seperti kehilangan produktiviti pekerja kerana cuti sakit, tidak dapat bekerja, dan kematian pramatang. Ia memberi kesan besar kepada ekonomi negara,” katanya.

Dr Dzulkefly menegaskan, usaha membudayakan gaya hidup sihat dan meningkatkan literasi kesihatan rakyat perlu diperkasa bagi mengurangkan beban tersebut.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Negeri Selangor dan menutup Program Jom Sihat Kuala Selangor 2025 di Kompleks Stadium Tertutup Kuala Selangor, hari ini.

Menurutnya, punca utama NCD adalah empat faktor risiko iaitu kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, kencing manis dan berat badan berlebihan.

“Sebab itu kita tekankan program seperti Jom Sihat bukan sekadar untuk menurunkan berat badan, tetapi membudayakan kehidupan sihat dari segi pemakanan, aktiviti fizikal dan kesedaran kesihatan keluarga,” jelasnya.

Program Jom Sihat Kuala Selangor 2025 menyaksikan 381 peserta dipilih selepas saringan awal, dengan 85 peratus daripadanya berjaya menamatkan program. Daripada jumlah itu, 79 peratus menurunkan berat badan, manakala 69 peratus berjaya menurunkan sekurang-kurangnya 10 peratus berat badan masing-masing.

Dr Dzulkefly menambah, kejayaan tersebut menunjukkan usaha berterusan di peringkat komuniti mampu membantu negara menangani ancaman penyakit tidak berjangkit yang menjadi 'pandemik senyap' dalam masyarakat.

ASHRIQ FAHMY AHMAD