KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Rakyat Malaysia diseru agar mempertingkatkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan dan kemerdekaan tanah air.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap masyarakat untuk menghargai dan meraikan kebebasan dengan penuh rasa bangga.
"Marilah kita cari apa juga cara untuk kita tingkatkan rasa cinta pada negara, berasa bangga untuk kibarkan Jalur Gemilang kerana ia adalah tanda kedaulatan simbol kedaulatan dan kemerdekaan negara kita.
"Jadi saya sarankan gunalah apa juga cara dan pasanglah, kibarkanlah jalur gemilang terutama sepanjang Bulan Kebangsaan ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran kempen 'Denyut Nadi Merdeka' anjuran Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni di sini, hari ini.
Terdahulu, Fahmi bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Amir Hamdan menaiki LRT dari Stesen Bangsar menuju ke Stesen Pasar Seni bagi mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai.
Fahmi berkata sebanyak 2,000 Jalur Gemilang akan diedarkan pihak Prasarana sempena Bulan Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, orang ramai juga diseru menyertai pelbagai program patriotik yang dianjurkan sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September.
Beliau turut menekankan kepentingan mempamerkan Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan, kemerdekaan dan jati diri rakyat Malaysia.