KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati menyebarkan fitnah berhubung Lembaga Tabung Haji (TH), susulan tularnya sebuah video berunsur hasutan di media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat, dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pihak terbabit.
Menurutnya, walaupun penjelasan rasmi sudah diberikan oleh pihak TH serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Naim Mokhtar di Parlimen, masih ada pihak tidak bertanggungjawab yang terus menyebarkan fitnah.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil
“Sebaran palsu juga adalah satu jenayah yang boleh dikenakan hukuman, termasuk denda sehingga RM500,000 jika disabitkan kesalahan di mahkamah. Jumlah ini bukan kecil.
“Saya ingin mengingatkan semua supaya berhati-hati dengan sebarang maklumat yang diterima,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen Denyut Nadi Merdeka di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni, hari ini.
Fahmi menegaskan, kesalahan itu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, media melaporkan TH sendiri telah membuat laporan polis serta kepada MCMC berhubung penyebaran video berunsur fitnah dan hasutan berkenaan.
TH menjelaskan, kandungan video tersebut mengandungi provokasi serta tuduhan tidak berasas yang boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat, khususnya berkaitan inisiatif penjenamaan semula dan tadbir urus institusi itu.