fb fb fb fb fb

UUM tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik Asia

(FOTO BERNAMA)

SINTOK, 23 Jun - Universiti Utara Malaysia (UUM) tersenarai dalam kelompok 100 Universiti Terbaik Asia dalam senarai Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2023. 

Menurut Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Fo'ad Sakdan, universiti itu berjaya membuat lonjakan 56 anak tangga sehingga berada dalam kelompok 100 Universiti Terbaik Asia dalam tempoh tiga tahun sejak 2021.

"Pada tahun ini, UUM berada di kedudukan ke-99 berbanding 148 pada tahun lalu dan kedudukan ke-155 pada 2021.

"UUM berkongsi kedudukan kali ini dengan tiga lagi universiti dari luar negara iaitu Jazan University, Arab Saudi; University of International Business and Economics, China dan Cankaya University, Turkiye," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 


(Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Fo'ad Sakdan)

Mohd Fo'ad berkata lonjakan sehingga 56 anak tangga itu merupakan hasil usaha dan komitmen seluruh warga UUM dalam menjadikan universiti itu sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka serta dalam menjayakan Pelan Strategik UUM.

"Pihak pengurusan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam mencipta sejarah manis untuk UUM, terutamanya kepada Naib-naib Canselor sebelum ini, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan semua warga UUM.

"Kedudukan UUM dalam senarai 100 universiti terbaik di Asia ini membolehkan universiti ini bergerak jauh ke hadapan bagi meluaskan lagi jaringan di peringkat nasional dan antarabangsa, " ujarnya. 

Beliau berkata kejayaan itu juga pastinya tidak mampu dicapai tanpa sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan Tinggi yang memberi sokongan kepada UUM untuk terus merealisasikan visi dan misi UUM. 

THE Asia University Rankings yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan sebanyak 669 universiti seluruh Asia disenaraikan bagi penarafan 2023.

Media Baharu