fb fb fb fb fb

UUM intai peluang jalin kerjasama dengan universiti di Australia

SYDNEY, 2 April- Universiti Utara Malaysia (UUM) mengintai peluang untuk menjalin kerjasama strategik menerusi lawatan kerja Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah ke Australia National University (ANU) dan University of Sydney (USyd).

Menerusi lawatan ke ANU, delegasi Malaysia yang diketuai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia, Datuk Roslan Abdul Rahman bersama Prof. Dr. Haim Hilman disambut Timbalan Naib Canselor (Strategi Antarabangsa), Prof. Sally Wheeler; Pengarah Institut Malaysia ANU, Dr. Ross Tapsell dan Pengurus Kanan Pembangunan Perkongsian Antarabangsa, Dr. Anthony Nelligan.

Pada pertemuan itu, Prof. Dr. Haim Hilman menyatakan keupayaan universiti awam negara menjalankan kajian berkaitan Malaysia dan Asia, selain kesediaan untuk berkongsi hasil penyelidikan untuk manfaat bersama.

Beliau turut mempromosikan Insitut Pengurusan Bencana, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dan Insitut Pengurusan Risiko, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) yang berupaya menjalankan kajian berkaitan cuaca dan tenaga.

Sementara itu, Prof. Wheeler menyatakan hasrat ANU untuk meningkatkan kerjasama dalam penyelidikan terutama dalam bidang cuaca dan tenaga selain perniagaan serta perdagangan.

Di USyd pula, delegasi disambut oleh Pengarah Pejabat Penglibatan Global, Amanda Sayan dan Ketua Perjanjian Antarabangsa, Tommy Gatling serta Ketua Mobiliti dan Pertukaran Pelajar, Fiona White.

Menurut Sayan, USyd mempunyai program mobiliti pelajar terbesar di Australia dan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan universiti di Malaysia.

"USyd juga menyediakan sokongan kepada pelajar untuk menjalankan program mobiliti di bawah Rancangan Colombo Baharu (NCP) yang membolehkan pelajar sarjana muda menjalankan program mobiliti untuk tempoh jangka panjang atau jangka pendek dengan tempoh minimum dua minggu," katanya.

(Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menyerahkan cenderamata kepada Ketua Mobiliti dan Pertukaran Pelajar, Fiona White.)

Sementara itu, Prof. Dr. Haim Hilman berkata, program pertukaran pelajar sangat penting dalam membantu meningkatkan kefahaman budaya dan menghormati antara sama lain.

“UUM bersedia untuk bekerjasama dalam membentuk program mobiliti yang menepati keperluan program akademik yang ditawarkan oleh USyd secara usaha sama dengan universiti awam di Malaysia,” katanya.

Sepanjang lawatan di kedua universiti itu, delegasi Malaysia telah dibawa melawat sekitar kampus.

ANU dan USyd masing-masing tersenarai pada kedudukan ke-27 dan ke-38 universiti terbaik di dunia dalam penarafan QS World University Rankings 2022.

Media Baharu