PORT DICKSON, 2 April- Pemantauan akan dilakukan di setiap bazar Ramadan bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi SOP dalam membendung penularan COVID-19.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuat pemantauan bagi memastikan perjalanan di setiap bazar Ramadan teratur dan lancar.
Polis juga tidak akan mengenakan tindakan sewenang-wenangnya, justeru berharap masyarakat dapat mematuhi SOP.
"Kita akan beri tumpuan pemantauan seperti bazar Ramadan kerana ia tempat kritikal dalam tempoh Ramadan bersama dengan PBT, mungkin Rela akan bantu dalam usaha untuk kita bukan nak sekat tapi kita nakmemastikan supaya di bazar-bazar Ramadan itu teratur dan tidak menimbulkan masalah.
"Harapan kita supaya masyarakat patuh dengan SOP ditetapkan, kita tidak akan ambil tindakan sewenang-wenangnya,"kata Mohamad.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Operasi Bersepadu Pembukaan Sempadan Negara di Port Dickson.
Operasi tersebut diadakan bagi memantau situasi perairan negara di Port Dickson sempena pembukaan sempadan malam tadi.
(Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop)