fb fb fb fb fb

Tiada kompromi, peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di Melaka dipantau, elak kenaikan harga melampau

ALOR GAJAH, 2 April- Tiada kompromi kepada peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri yang menaikkan harga barangan seperti makanan dan barangan basah atau kering.

Exco Hal Ehwal Pengguna Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, pemantauan akan dijalankan dengan kerap bagi memastikan tiada kenaikan harga mendadak sepanjang Ramadan ini.

Katanya, sekiranya Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima aduan berkenaan perkara itu, tindakan saman akan dikenakan kepada peniaga.

"Mereka jangan lah ambil kesempatan dalam bulan Ramadan ni, jangan sembarangan naik harga sebab kita akan pastikan mereka ikut harga yang berpatutan.

"Kalau kita terima aduan kita akan turun dan pastikan kenapa mereka berbuat demikian, kalau mereka tak ikut kita akan beri amaran atau kita saman sahaja, di Melaka setakat ini kita belum dengar barang naik harga," kata Ngwe Hee Sem.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jualan Keluarga Malaysia di Alor Gajah, Melaka.

Mengulas lanjut katanya, setakat ini di Melaka, tiada aduan diterima mengenai bekalan dan harga ayam.

Bagaimanapun, terdapat kekurangan bekalan telur ayam gred C ketika ini.


(Exco Hal Ehwal Pengguna Melaka, Ngwe Hee Sem)

Media Baharu