fb fb fb fb fb

UTM tukar tiga sesi majlis konvokesyen

(Foto hiasan)

JOHOR BAHRU, 24 Oktober- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meminda tiga sesi Majlis Konvokesyen ke-66 universiti itu berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada 19 November ini.

UTM dalam satu kenyataan memaklumkan pindaan tersebut bertujuan memberi laluan kepada semua warga universiti, graduan dan ahli keluarga untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi ketika PRU15.

"Dimaklumkan bahawa UTM dengan limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor (Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah) telah bersetuju meminda sesi Majlis Konvokesyen UTM ke-66 yang kebetulan jatuh pada 19 Nov 2022 iaitu pada tarikh PRU15," menurut kenyataan itu.

Bagi sesi pertama pukul 8.00 pagi 19 November dipinda kepada 8.00 pagi 24 November; sesi ke-2 pukul 8.00 pagi 20 November kepada 2.00 petang 24 November dan sesi ke-3 pada 2.00 petang 20 November kepada 8.00 pagi 25 November.

Menurut UTM, sesi keempat hingga sesi kesembilan adalah kekal seperti yang telah dijadualkan bermula 21 November hingga 23 November.

UTM turut meminta semua graduan merujuk laman web rasmi di pautan www.utm.my/convocation untuk sebarang maklumat terkini berkenaan pindaan yang telah dibuat.

(Foto hiasan)

Media Baharu