fb fb fb fb fb

Tiada ramalan cuaca buruk luar biasa pada penghujung bulan ini

PETALING JAYA, 24 Oktober- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak menjangkakan berlaku cuaca buruk luar biasa pada penghujung bulan ini seperti yang tular di media sosial.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah dalam satu kenyataan media hari ini berkata, keadaan cuaca di Malaysia sedang dipengaruhi penumpuan angin di Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah hingga penghujung Oktober dan menyebabkan cuaca lembap di kebanyakan negeri.

Dalam pada itu, satu sistem tekanan rendah terbentuk di barat Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat dan barat laut menjauhi rantau negara yang akan memberi sedikit kesan terhadap keadaan laut.

(Tiada ramalan cuaca buruk luar biasa pada penghujung bulan ini)

"Amaran angin kencang antara 40 hingga 50 kilometer sejam dan laut bergelora dengan ketinggian ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-layang dalam tempoh 27 hingga 30 Oktober.

"MetMalaysia akan terus memantau dan memaklumkan perubahan cuaca signifikan yang berlaku dari masa ke masa," menurut kenyataan itu.

Orang ramai diingatkan agar mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan cuaca melalui laman web rasmi dan laman media sosial rasmi MetMalaysia atau melalui talian 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca.

 

Media Baharu