KUALA LUMPUR, 1 Mei - Semua Pihak Berkuasa Tempatan termasuk Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran diwajibkan menubuhkan Unit Integriti selewat-lewatnya 31 Ogos 2025.
Inisiatif itu sebagai langkah memperkukuh integriti pentadbiran.
Ketetapan penting berkenaan diumumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) Peringkat Nasional yang berlangsung di PICC semalam.
Selain itu, pegawai penghubung PBT kini diarahkan melapor terus kepada Unit Integriti di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memperkukuh ketelusan pelaporan.
Mesyuarat dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut menekankan kepentingan pematuhan terhadap syor Laporan SPRM 2017-2021, dengan surat peringatan bakal dikeluarkan kepada kementerian dan kerajaan negeri.
Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam diarahkan menyemak garis panduan MyPPSM termasuk isu tajaan luar, manakala Kementerian Kewangan diminta mempertimbangkan pekeliling “Do’s and Don’ts” Pelaksanaan Perolehan.
Tan Sri Shamsul Azri turut mengingatkan semua Ketua Setiausaha kementerian segera melaporkan kes rasuah sebagai sebahagian penilaian prestasi.