KUALA LUMPUR, 1 Mei- Malaysia perlu mengekalkan keseimbangan dalam menjalin hubungan erat dengan Amerika Syarikat (AS) dan rakan serantau lain, selari dengan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN untuk memacu pertumbuhan ekonomi serantau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) semalam yang memberi tumpuan kepada strategi memperkukuh kedudukan eksport negara ke AS.
"Inilah kesempatan untuk kita memangkin usaha menyusun semula struktur ekonomi negara. Ia peluang membina asas ekonomi yang lebih kukuh, kalis cabaran dan berdaya saing dalam dunia yang semakin tidak menentu," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook malam tadi.
Langkah itu, menurut beliau, sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai peneraju pertumbuhan serantau yang berdaya tahan dalam menghadapi perubahan ekonomi global.
Mesyuarat itu diadakan susulan pertemuan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer minggu lalu yang disifatkan sebagai langkah penting untuk memastikan suara Malaysia terus didengari dalam landskap perdagangan global yang mencabar.